Artikel
ini saya tulis dengan penuh emosi kerana ia melibatkan orang yang rapat
dan saya kenali. Ayah dan arwah ibu saya mungkin bukan orang
terpelajar. Emak sekolah curi-curi intai dari tepi tingkap sampai darjah
tiga dan tidaklah sampai ke peringkat pandai membaca, hanya sekadar
kenal huruf jawi juga huruf rumi tapi tidak pandai membaca sampai hari
terakhir arwah emak di dunia. Ayah pula belajar sampai darjah 6 tapi
bukanlah seorang pelajar yang baik kerana telahpun bekerja di ladang
kopi dari umur 7 tahun lagi.
SOAL PILIH JODOH / MENANTU
Kalau
nak ketawa, silakanlah tapi ayah dan arwah emak saya mengamalkan cara
tradisional dalam memilih menantu. Ada 2 kriteria utama yang akan
dilihat secara keutamaan pada nombor 1 kemudian yang ke-2. Ibu bapa mana
yang tak mahu anaknya bahagia. Kriteria pertama kami 4 beradik lelaki
akan memperkenalkan pasangan pilihan kami pada ibu bapa kami dahulu. Kes
isteri saya, selepas sudah bertunang barulah dapat diizinkan ibu mertua
saya untuk bawa isteri saya ke Pahang untuk diperkenalkan pada ibu bapa
saya. Alhamdulillah, kriteria pertama dan kedua menepati dan ibu saya
sangat sayang dan selesa sekali dengan calon isteri pilihan saya.
Kriteria
pertama ialah BERTUDUNG. Walaupun isteri saya bertudung litup, saya
pernah juga argue pada ibu bapa saya, terima sahajalah calon yang saya
bawa walaupun tidak bertudung, boleh jadi hidayah akan sampai selepas
berkahwin nanti. Rupanya, kini saya sedar dan saya silap. Rasionalnya
ialah, jika seseorang yang bertudung itu adalah satu gambaran luaran
sebelum mengenali hati budi bahawa bertudung itu adalah ciri-ciri
seorang wanita yang menjaga kehormatannya dan pastinya selepas berkahwin
akan terus menjaga kehormatannya juga maruah suaminya. Secara rasional,
pastinya ibu bapa saya tidak mengenali calon isteri yang saya pilih
kecuali dinilai dari pandangan pertama. Di sini isteri saya
Alhamdulillah melepasi kriteria yang diberi. Bukan sekadar bertudung,
pakaiannya juga tidaklah ketat sehingga menampakkan susuk tubuh dan
tudungnya pula tidaklah seperti tudung Siti mahupun "Kak Rosmah" kita.
Walaubagaimanapun,
sebelum itu, calon isteri yang abang saya bawa tidak menepati kriteria
ini. Ibu dan ayah saya tetap positif untuk mempertimbangkan kriteria
kedua iaitu...PANDAI MEMASAK.Kakak ipar saya yang gagal menepati
kriteria pertama masuk ke peringkat ke-2 dan Alhamdulillah, kakak ipar
saya memang seorang wanita yang pandai memasak.
Saya
juga pernah argue perkara ini. "Alaa emak dan ayah ni, orang sekarang
semua dah ada kerjaya, makan dan minum semua kat kedai jer yang penting
hidup cukup makan sudah lah".Ayah saya menjawap "Nanti engkau tahu
lah..." dan tidak mengulas panjang. Rupanya kini saya faham, jika calon
isteri yang dipilih itu pandai memasak, pastinya telah didik untuk
memasak dan memenangi hati Si Suami. Jika untuk survival, saya tak fikir
ada wanita yang akan memasak sendiri kecuali berada di luar negara,
itupun kerana tiada pilihan. Maka dengan itu, kriteria kedua ini
hanyalah satu petanda bahawa seorang calon isteri itu telah dididik
untuk mengurus rumahtangga. Selebihnya seperti kerja mengemas rumah,
mengasuh anak itu pastinya akan dinilai dari cara memasak, penyusunan,
kebersihan dan juga susunan rasa yang dicipta dalam makanan itu sendiri.
Kakak
Ipar saya berjaya dapat A untuk ini. Sementara isteri saya pula tidak
diuji di peringkat ke-2 ini kerana telah lulus cemerlang di peringkat
pertama. Cuma sekadar emak dan ayah mengusik mesra mengatakan "Saiful ni
suka makan kat rumah, dia tak suka makan kat luar...Intan kenalah
memasak nanti"
Intan : Gulppp.... (Senyum sahaja)
Saya : (Senyum jer dalam hati berkata...perlu ke nak memasak?)
Isteri
saya orang terpelajar. Sekolah tinggi sampai ke peringkat Ph.D di
universiti terbaik dunia di Cambridge University, United Kingdom. Dalam
hati saya, saya kurang percaya dan bukanlah satu keperluan untuk saya
katakan isteri saya perlu memasak untuk saya nanti selepas
berkahwin. Selepas kami berkahwin, selama setahun dapur kami hanya
berasap ketika ibu dan ayah saya datang melawat. Arwah emak yang
masakkan. Isteri saya tak memasakpun dan emak cuma sekadar mengusik
sahaja..."Abang Saiful ni kurus jer dia, Intan kena masak ni bagi dia
gemuk sikit" (Padahal ketika itu saya dah masuk dalam kategori awal
overweight dah). Saya kurang teliti maksud sebenar kata-kata itu hanya
sekadar menganggap itu satu gurauan sahaja.
Selepas
ibu saya menghembuskan nafas terakhir, barulah saya sedar antara satu
perkara yang paling besar saya hilang ialah masakan airtangan seorang
ibu. Sehingga kini saya masih merasakan masakan ibu sayalah yang terbaik
dan saya terfikir, apabila isteri saya nanti "pergi" apakah masakan itu
tidak langsung menjadi satu ingatan anak-anak saya nanti jika kami
meneruskan makan di luar sahaja. Chef ternama dunia yang masakannya
pernah saya rasai kehebatannya masih belum dapat menawarkan rasa segar
lidah saya memakan masakan arwah ibu yang telah lama pergi.
Selepas
dari itu, saya membuat keputusan untuk mengurangkan makan di luar.
Lalu, SAYA SENDIRI MEMASAK di rumah. Isteri saya setuju untuk saya
memasak dan isteri saya akan mengemas. Kerana saya memasak memang style
mamak. Ketung ketang ketung ketang....siap. Tapi dapur dan singki memang
sangat huru hara saya buat. Selepas beberapa kali saya memasak di
rumah, isteri saya mula turun tangan menolong memotong bawang dan
menyediakan bahan. Tidak lama selepas itu, isteri saya mula mengambil
inisiatif apabila saya mula lihat beliau mula memuat turun banyak
resipi-resipi masakan dari internet. Itu sudah satu petanda bagus. Satu
hari, saya pulang kerja saya lihat "DR. INTAN SALWANI, PH.D Cambridge
University, Chem. Eng." (Jangan ingat ini nak tayang, tapi sekadar jadi
contoh atau analogi golongan yang terpelajar) memasak di dapur. Saya
tersenyum dan saya bangga dengan beliau. Masih lagi saya terasa lazatnya
gulai MASIN yang beliau masak dan saya dengan senyuman terus
memuji..."Sedapnya you masak...kalau hari-hari macam ni, i boleh jadi
obes". Selepas beberapa hari isteri saya memasak. Saya bertanya..
"Intan,
u masak ni pasal u sayang kat i kan?". Isteri saya
menjawab..."Semestinya lah, tapi satu lagi kerana kalau u masak, dapur
bersepah i kena buat kerja lebih dari i sendiri yang masak"
Saya : (Senyum...walaupun disindir).
Alhamdulillah,
sudah lebih 5 tahun kami berkahwin, dan 50% makanan yang masuk dalam
perut kami sekeluarga adalah adunan rasa yang dimasak oleh isteri saya
sendiri di sebalik kesibukan kerja beliau sebagai seorang pensyarah
kanan di UPM. Juga sibuk dengan urusan anak-anak dan kini mengandung
anak kami yang ke-3 saya tahu itu semua satu yang kurang praktikal untuk
isteri saya lakukan. Saya berkompromi dan tidak pernah memaksa isteri
saya memasak untuk kami sekeluarga sekiranya beliau memang tidak larat.
Tapi saya hormatinya semangatnya, kerana isteri saya masih menggagahkan
diri untuk terus berkhidmat sebagai seorang ORANG DAPUR YANG TERPELAJAR.
Juga seorang CIKGU untuk anak-anak saya dan bayaran yang saya berikan
hanyalah mencurahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi pada isteri dan
anak-anak kami.
Sudah lebih 5 tahun, dengan
kesibukan isteri saya juga tidak pernah pula saya memakai baju kemeja
tidak diseterika atau pakai baju yang sama dan tidak berbasuh pada dua
hari berturut-turut. Jarang sangat hari yang saya balik kepenatan di
rumah tiada segelas air sejuk dihidang. Walaupun hanya air sejuk,
rasanya sangat manis dengan senyuman isteri yang menghidangkannya.
Semuanya diuruskan dan perkhidmatan isteri saya pada saya dan anak-anak
adalah satu pengorbanan besar dan saya secara patut pasti akan membalas
pengorbanan itu dengan pengorbanan dari diri saya sendiri untuk terus
menyayangi isteri saya dan keluarga saya. Alhamdulillah, Kami saling
berbagi kami saling faham memahami.
Saya minta
maaf jika anda yang kurang sependapat dengan saya, tapi saya rasakan
kasih sayang saya pada isteri saya kini jauh lebih hebat berbanding pada
tahun pertama kami berkahwin. Saya seronok bila anak-anak menjerit dan
melonjak seronok bila CHEF peribadi kami mengumumkan akan memasak menu
kegemaran anak-anak kami. Saya sering mahu menitiskan airmata kerana
saya melihat diri saya sendiri pada anak-anak saya apabila arwah ibu
saya dahulu mahu memasakkan menu yang saya sukai. Saya masih terasa ia
hanya berlaku semalam sahaja bila saya dijamu makanan kegemaran saya
setiap kali saya balik ke rumah bercuti dari sekolah berasrama. Saya
mula faham mengapa ibu dan ayah saya begitu menitik beratkan perkara
ini. Jika memasak itu dapat diaturkan, disiplin dalam pemasakan itu juga
membentuk rumahtangga ibu bapa kami.
Ibu dan bapa
saya seumpama timur dan barat yang tidak sehaluan dalam banyak perkara.
Mereka bertengkar hampir setiap hari tetapi tidak pernah sehingga ibu
saya meninggal, ayah meninggalkan ibu saya tidur bersendirian. Gaduh,
merajuk dan memujuk semuanya berlaku apabila ibu saya tetap tidak
melupakan tanggungjawab memasak dan ayah saya akan balik semula dan
berbaik di meja makan kami.
Sesibuk mana pun
saya, saya sentiasa cuba meluangkan makan malam dan sarapan bersama
sekeluarga. Saya kini jelas dan faham mengapa dahulu orang-orang lama
meletakkan 2 kriteria di atas dalam memilih pasangan hidup. Rupanya ia
bukanlah mengada-ngada tetapi ia masih praktikal pada zaman moden
sekarang ini.
Betul orang tua berkata, pikat hati
suami, menangilah perutnya dahulu. Ia kelihatan kelakar tetapi tidak
sama hasil airtangan orang yang memikirkan laba dan untung berbanding
penyediaan makanan yang dibuat secara terbaik oleh seorang ibu untuk
anak-anak dan suaminya yang semuanya dimasak dengan teliti. Tidak perlu
nasi tangas, tidak perlu pizza hut, tidak perlu makan di restoran
mahal...jika ia datang dari orang yang kita sayang, makanan masin pun
enak dikunyah.
Saya kembali pada fahaman
tradisional orang lama. Saya kurang pasti anda juga begitu. Jika saya
masih lagi segar dan masih terasa di lidah mengunyah makanan ibu yang
telah lama pergi, anak-anak saya juga pasti akan merindui masakan ibunya
TIDAK KIRA SEJAUH MANA MEREKA BERADA nanti.
Makanan
bukanlah satu perkara besar, tetapi ia seakan-akan satu pengikat kasih
dalam rumahtangga. Semasa saya menaip ini, saya sedang merasakan
kehebatan airtangan hidangan isteri walau hanya segelas air sejuk dan
ada juga yang telah berumahtangga lama tetapi tidak pula merasakan apa
yang saya rasakan. Rumahku, syurgaku.
Terima kasih ibu
dan ayah yang telah memberikan kami satu pelajaran hidup yang sangat
besar ertinya setelah pelajaran itu saya laluinya sendiri dan merasainya
sendiri. Walaupun ayah dan emak tidak terpelajar, pada hari ini saya
tetap bangga dengan emak dan ayah. Saya bangga dibesarkan oleh emak dan
ayah walaupun dalam keadaan serba miskin, tetapi emak dan ayah tak
pernah miskin kasih sayang. Sekarang apabila saya tanyakan kembali
kenapa 2 kriteria itu jadi keutamaan, ayah minta saya jawap sendiri.
Jika sudah mampu menjaga diri dan kehormatan diri pasti pandai menjaga
maruah suami, pasti pandai menjaga suami. Jika suruhan Allah boleh
dipatuhi, taat kepada suami juga adalah salah satu suruhan Allah yang
seorang isteri perlu buat disamping solat dan puasanya, selebihnya
isteri boleh ke syurga dengan mana-mana jalan yang dimahukan. Jika
kriteria pertama BELUM dipenuhi, kriteria ke-dua menandakan isteri sudah
bersedia untuk memberi perkhidmatan pada suaminya sebagai isteri yang
taat. Pasti jika suaminya seorang yang beriman, kriteria pertama akan
mudah diikuti jika itu dari seruan Si Suami. Contoh terdekat ialah kakak
ipar saya sendiri yang lantas bertudung kerana suami (Abang sulong
saya) mahukan aurat isterinya menjadi tatapan ekslusif beliau dan
muhrimnya sahaja.
Ada logiknya dan sangat-sangat
logik untuk difahami. Kini baru saya fahaminya mengapa orang tua
berfahaman sebegitu tradisional. Rupanya ia untuk mewujudkan satu
suasana syurga dalam rumahtangga dengan anak dan isteri menjadi
bidadari-bidadarinya.
Jika anda rasa artikel ini
baik untuk anda kongsikan. Jangan segan jangan malu.SHARE kan sahaja pada orang yang anda rasa baik untuk anda
berkongsi.
Salam bahagia semua.
SAIFUL NANG